Tuesday, 7 June 2016

Turki - Part 1

Bismillah.

Sesiapa yang tidak mempelajari sejarah akan mengulanginya..

Turki Uthmaniyah ( 1924 )


Alam menjadi saksi bisu...

Terengganu ( 2016 )


            Usai berwuduk aku menuju ke rak buku di dalam bilikku, mengambil sebuah buku yang belum kubaca. Sejujurnya mindaku sudah menyeru aku untuk berehat tetapi mataku masih berdegil meminta untuk dibuka. Lantas sebuah buku sejarah aku ambil. Nah, rasakan lagi, kalau masih tidak mengantuk juga mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan mataku ini, monologku sendiri. Buku  kerdipan bintang melayu di langit Turki itu aku usap perlahan. Memori di Karangkraf Selangor tempoh hari tergambar di kotak fikiran..


            Ketika pertama kali aku terpandang buku ini, terus aku jatuh cinta padanya. Wah, seakan cinta pandang pertama kata anak muda. Tapi sayang, saat itu dompetku tidak memberi banyak peluang untuk aku berbelanja. Almaklumlah teman, hidup sebagai pelajar yang tanpa bantuan, namun aku gagahi juga demi sebuah cinta. Ehh, kenapa cinta ? Kerana bagiku memiliki buku itu adalah hobi yang sangat aku cintai, umpama menyimpan gudang khazanah ilmu yang sangat berharga. Hahaha. Maafkan aku atas kesasterawaan yang maha dahsyat ini. Jadi secara ringkasnya ia selamat menjadi hak milikku dan selamat aku bawa pulang ke kampung halaman. Cuti semester yang panjang ini bakal kuhabiskan bersamamu wahai buku. Hehehe.


            Panjang pula celotehnya ya. Turki. Aku usap perlahan tulisan itu di kulit buku. Segayut rasa sayu bertamu di hati. Aku sangat menginginkan untuk menjejakkan kaki ke bumi Anbiya’ itu. Sejak aku mempelajari sejarah sewaktu di sekolah menengah, sejarah Turki Uthmaniyah adalah yang paling menarik minatku. Ya, siapakah yang tidak tahu berkenaan kerajaan khalifah Islam yang terakhir itu ? Apakah yang sebenarnya terjadi sehingga sistem khalifah itu terhapus di sana ? Tambahan lagi, guruku terhormat, ayahanda Ustaz Sulaiman sering mendengarkan kisah Turki pada kami. Hagia Sofeanya, Masjid Birunya.. Sehingga aku terbayang-bayang Turki dalam mimpiku walau kaki tidak pernah menjejak ke sana! Aduh, betapa tulus hati anak muda ketika itu. Masih di bangku sekolah dan menerima bulat-bulat apa yang diajarkan oleh guruku.


            InsyaAllah aku bakal memulai kembara ke Turki walau tanpa kaki menjejak ke sana lagi. Impianku, moga Allah izinkan aku untuk bernafas di sana, mengimbau sirah dan hikmah yang ada. Membaca karya 99 Cahaya di langit Eropah membuatkan aku terusik untuk menerokai sisi Eropah yang disembunyikan Barat. Sisi Islam yang berbekas di bumi Eropah. Syiar yang pernah wujud dan menanti untuk kembali dinyalakan oleh generasi jundulullah yang baharu.


Turki, negara yang menjadi saksi kejatuhan khalifah Islam suatu ketika dahulu. Namun sebelumnya ia juga menjadi saksi kemenangan tentera yang hebat pimpinan Sultan Muhammad Al-fateh. Jika kita menganggap masih ada generasi Mustafa Kamal Antartuk di Turki, jangan dilupa darah Al-fateh dan Badiuzzaman Said Nursi juga turut wujud di sana. Tangisan Faqeeh memecah keheningan malam yang kelam ini. Masa sangat mencemburuiku kini. Insyaallah akan ku sambung coretan ini setelah aku menghabiskan bacaanku berkenaan Turki. Selamat bertemu wahai Turki. Ketahuilah ada seorang insan sedang merinduimu di bumi Malaysia ini. Mengambil roh kekuatan Al-fateh dan Said Nursi. Generasi Al-fateh dan Said Nursi bakal kembali. Allah, izinkan aku ke sana suatu hari nanti.

Pen off.
12.31 am

2Jun2016