Sunday 15 October 2017

Menulis

Bismillah.


Senja menjelang azan mula berkumandang. Sela waktu yang ada aku manfaatkan seketika bagi menjenguk laman yang sudah lama terbiar ini. Usang dan kusam. Almaklumlah zaman sekarang semua orang sudah menggunakan medium sosial lain yang lebih canggih seperti facebook, whatsapp dan instagram. Aku sendiri juga begitu. Namun sesekali rasa rindu bertandang lalu aku gerakkan jemari kurniaan Tuhan ini untuk menukil sedikit sebanyak kata, untuk simpanan di hari tua.


Janganlah engkau terhenyak dengan musibah semalam yang terjadi. Kerana musibah di dunia ini tak satu pun yang bertahan abadi (musibah tersebut pasti akan berakhir). 

Asy-Syafie r.a




Masa seakan begitu laju berlalu meninggalkan manusia yang terkapai-kapai dalam kejahilan. Beruntung bagi yang sentiasa memanfaatkan masanya demi ummah dan agama. Sungguh, aku cemburu pada kalian. Bagiku, menulis sesaat seakan satu terapi yang mengurangkan beban di bahu. Kehidupan sebagai seorang anak, pelajar, kawan, sahabat dan khalifah terlalu memerlukanku untuk fokus sehingga kadangkala aku terleka dek kesibukan. 


Untuk setahun yang berbaki bergelar pelajar sarjana muda ini (insyaAllah), akan aku cuba manfaatkan sebaik mungkin dengan persediaan-persediaan untuk menghadapi ummah kelak. Bukan jawatan mahupun pangkat yang menjadikan kita seorang Daie, bahkan taklifan itu untuk semua khalifah di muka bumi ini. 


ya Allah, ajarkanlah aku agar sentiasa ikhlas. 


Dengan jumlah waktu yang tidak diketahui bilakah akan terhenti ini, moga-moga Allah kurniakan kita semua kudrat untuk sentiasa menjadi hambaNya yang mukhlisin insyaAllah.


Oktober ini Alhamdulillah dah mencapai umur 22 tahun kehidupan. Matlamat kematian pula masih lagi dalam perancangan. Mohon doa daripada semua agar kita semua diberikan keberkatan waktu sentiasa. InsyaAllah.

yess yaa itu kamuu, Allah rindu tauu >.<

Dan mohon doa juga ya agar dapat istiqamah menjadi penulis (:



Regards,
Istisyhad 


Monday 23 January 2017

Rindu yang tiada penghujungnya

Usai solat maghrib di bilik hostel, aku terus mencapai naskah al-Quranku. Terasa lama sudah diri tidak menghiburkan hati dengan Kalamullah ini. Ya Allah, aku tenggelam dalam kelalaian dan kesibukan yang aku sendiri cipta. Astaghfirullah..


Aku mencari tanda terakhir yang aku letak pada Quran itu. Lama sudah rupanya aku tidak menyambung bacaan harianku yang aku target untuk dikhatamkan. Aku belek penanda itu, masih pada permulaan Surah Yaasin rupanya.


Basmallah dilafaz dan aku terus memulakan bacaanku secara perlahan..


Tanpa aku paksa tiba-tiba memori empat disember lalu terbayang di kepala..

--------------------

04122016


Rentak kaki aku hayun perlahan menuju ke anak tangga rumahku. Renungan mereka-mereka yang berada di luar seakan menghantar mesej simpati padaku. Abangku yang sedia menyambut aku di muka pintu juga tidak aku endahkan. Hati aku gundah. Aku masih seakan tidak percaya apa yang telah berlaku itu.


Sambil memberi salam, aku terus berjalan ke dapur mencari buah hati kesayanganku, anak-anak buahku. Aku peluk satu persatu. Aku memohon kekuatan untuk aku hadap realiti itu.


Dan akhirnya aku melangkah ke ruang tamu. Sekujur jasad menyapu pandangan mataku. Aku duduk di kakinya. Aku usap kakinya. Sejuk. Keras. Kaku.

dan buat pertama kalinya aku menangis semahu-mahunya disitu.


seakan mimpi. itu yang aku rasa. seakan slot motivasi yang sering dibawa oleh senior-seniorku di sekolah, kini aku sedang merasainya. masyaAllah, aku sudah menjadi seorang yatim wahai Allah.


Usai sempurna bacaan doa di kuburan, semua beransur pulang kecuali ahli keluargaku yang masih tinggal. Aku ambil senaskah yaasin dan aku mulakan bacaanku..

Terbayang pada benakku cerita-cerita alam barzakh yang pernah aku baca, yang pernah aku belajar. Teringat aku pada soalan mungkar nakir, nikmat serta azab kubur yang dijanjikan. Aku takut. Aku takut selepas aku melangkah itu, ayahandaku akan mula disoal oleh pasangan malaikat mungkar nakir itu.


Ya Allah, kasihanilah dia, rahmatilah dia, sayangilah dia Wahai yang Maha Penyayang, Wahai yang Maha Pengampun..


doa itu aku ulang berkali-kali.


--------------------

 Moga ayahanda tenang di sana, kata bonda, orang yang mati hanya mengharap pada doa orang yang hidup. Teruskan doa padanya, hadiahkan pahala buatnya. Orang yang hidup, perlu beramal sebelum mati tiba.



Istisyhad
Yang Mahu Jadi Baik