Monday 23 January 2017

Rindu yang tiada penghujungnya

Usai solat maghrib di bilik hostel, aku terus mencapai naskah al-Quranku. Terasa lama sudah diri tidak menghiburkan hati dengan Kalamullah ini. Ya Allah, aku tenggelam dalam kelalaian dan kesibukan yang aku sendiri cipta. Astaghfirullah..


Aku mencari tanda terakhir yang aku letak pada Quran itu. Lama sudah rupanya aku tidak menyambung bacaan harianku yang aku target untuk dikhatamkan. Aku belek penanda itu, masih pada permulaan Surah Yaasin rupanya.


Basmallah dilafaz dan aku terus memulakan bacaanku secara perlahan..


Tanpa aku paksa tiba-tiba memori empat disember lalu terbayang di kepala..

--------------------

04122016


Rentak kaki aku hayun perlahan menuju ke anak tangga rumahku. Renungan mereka-mereka yang berada di luar seakan menghantar mesej simpati padaku. Abangku yang sedia menyambut aku di muka pintu juga tidak aku endahkan. Hati aku gundah. Aku masih seakan tidak percaya apa yang telah berlaku itu.


Sambil memberi salam, aku terus berjalan ke dapur mencari buah hati kesayanganku, anak-anak buahku. Aku peluk satu persatu. Aku memohon kekuatan untuk aku hadap realiti itu.


Dan akhirnya aku melangkah ke ruang tamu. Sekujur jasad menyapu pandangan mataku. Aku duduk di kakinya. Aku usap kakinya. Sejuk. Keras. Kaku.

dan buat pertama kalinya aku menangis semahu-mahunya disitu.


seakan mimpi. itu yang aku rasa. seakan slot motivasi yang sering dibawa oleh senior-seniorku di sekolah, kini aku sedang merasainya. masyaAllah, aku sudah menjadi seorang yatim wahai Allah.


Usai sempurna bacaan doa di kuburan, semua beransur pulang kecuali ahli keluargaku yang masih tinggal. Aku ambil senaskah yaasin dan aku mulakan bacaanku..

Terbayang pada benakku cerita-cerita alam barzakh yang pernah aku baca, yang pernah aku belajar. Teringat aku pada soalan mungkar nakir, nikmat serta azab kubur yang dijanjikan. Aku takut. Aku takut selepas aku melangkah itu, ayahandaku akan mula disoal oleh pasangan malaikat mungkar nakir itu.


Ya Allah, kasihanilah dia, rahmatilah dia, sayangilah dia Wahai yang Maha Penyayang, Wahai yang Maha Pengampun..


doa itu aku ulang berkali-kali.


--------------------

 Moga ayahanda tenang di sana, kata bonda, orang yang mati hanya mengharap pada doa orang yang hidup. Teruskan doa padanya, hadiahkan pahala buatnya. Orang yang hidup, perlu beramal sebelum mati tiba.



Istisyhad
Yang Mahu Jadi Baik