Monday 8 October 2018

Tentang Cinta dan Kehidupan


Mereka bertanya tentang cinta. Aku khabarkan bahawa cinta itu rela memberi apa sahaja, merasai segenap kehidupan orang yang kita cinta, walau sejauh mana jarak yang ada. Cinta adalah nadi kehidupan. Dari cinta sepasang manusia, lahir generasi yang berkekalan lamanya. Dari sebenih cinta ibu, tumbuh anak-anak yang perkasa jiwa dan cekal hatinya. Kekuatan cinta mampu menandingi segenap rasa di dunia. Dan kerana cinta, insan yang telah dijanjikan syurga masih sujud hingga bengkak kakinya di pertiga hening malam. Begitu kuat rasa cinta. Begitu aneh namanya cinta.

Bercakap mengenai kehidupan pula, pandanglah ke pelusuk dunia, kau kan temui beribu jawapan kehidupan. Lihatlah si miskin untuk kau kenal rasa kaya, pandanglah yang terbelenggu di penjara untuk kau hidu nyamannya angin kebebasan yang kau ada. Memandang segenap dunia, beribu tona manusia, padanya ada jutaan cerita kehidupan. Yang menariknya, semua cerita itu pusatnya pada satu pencipta. Ehwal hidupnya dalam pengetahuan pencipta yang Maha Esa itu. Bahkan sedetik masanya manusia itu jua tidak kan pernah terlepas dari ilmu-Nya.

Meramu cinta dalam kehidupan bukan semudah menguli tepung dalam masakan. Padanya perlu ada kesedaran yang maha dalam, perlu pada petunjuk yang membawakan. Kerana aroma cinta dalam kehidupan begitu manis untuk disiakan begitu sahaja tanpa cakna dan usaha. Begitu kata Jalaluddin ar-Rumi mengenai percintaan, 

“Hati yang tak mencinta akan gagal dalam perhitunganNya.”

Demikian tanpa cinta yang kita pasak pada hari ini, kelak segalanya akan berantakan. Rumah yang tidak dipandu dengan cinta, akan hancur dimakan masa. Hati yang tidak dipagut dengan cinta, lama kelamaan kebosanan melanda. Jemu untuk bertemu, malas untuk bersua. Akhirnya lembaran cinta terlerai tanpa kata. Bagaimana untuk mengecap bahagia sebenarnya tanpa isi cinta?

Begitulah untuk bertemu Tuhan, perlu ada rasa cinta. Cukup dengan cinta, alam kan terasa lapang bagi kita. Dunia kan dilihat biasa sebagai tempat persinggahan sementara, bukan lagi tujuan utama. Hati meronta untuk mempercepat perjalanan menuju cinta. Dunia diambil secukup rasa sebagai perhentian menuju Dia. Namun dalam asyik bercinta dan mengenali-Nya, perlulah ada pengetahuan dan bimbingan. Agar cinta terarah pada yang selayaknya, bukan mensyirikkan Dia. Pusat seluruh kecintaan adalah Allah azza wa jalla, pemilik alam semesta. Maka cukup dengan mencintai-Nya, seluruh anggota alam kan turut mencintaimu, kerana cinta itu adalah kehidupan.  

Tinta Istisyhad,
07102018