Sunday 11 October 2015

Kembara Jeli 2.0

Alhamdulillah, kira-kira dalam lingkungan pukul 2 akhirnya geng kembara kami sampai ke Kampung Sungai Rual. Panorama berlatar blakang bukit bukau memenuhi ruang mata. Jalan tanah berdebu, jalan tar yang separuh siap dan sempit, menggambarkan watak kampung yang bakal aku jelajahi. Bas yang kami naiki terhuyung hayang dek jalan yang berbukit dan  bersimpang siur persis ular yang kena palu. Akhirnya bas berhenti dan kami berjalan sekitar 300 meter memasuki kampung tersebut.

Baru sampaii hehehe


Bangunan pertama yang menyapa mataku ialah sekolah rendah Sungai Rual ini. Sekolah yang kecil sahaja bangunannya ini mempunyai kira-kira dua ke tiga blok pembelajaran. Kanak-kanak Tahun 2 yang sedang belajar melambaikan tangan ke arah kumpulan kami yang kelihatan asing bagi mereka. Akan ku cuba untuk meneroka pelusuk sekolah itu pabila waktu mengizinkan.

Suasana kampung ini kelihatan sederhana pada pandanganku. Rumah-rumah yang didiami juga kebanyakannya rumah batu yang dibina oleh kerajaan. Beberapa orang penduduk kampung yang melintasi kami tersenyum dan ada yang melambaikan tangan. Lega, mungkin ini satu petanda kehadiran kami akan diterima secara baik oleh mereka. :D

Jauh di sudut hati, aku cuma berharap sinar Islam itu masih wujud dan subur di hati mereka. Tidak sabar rasanya mahu berbual dan bertukar buah fikiran dengan penduduk kampung ini. Moga-moga ada hikmah yang dapat dikutip sepanjang perjalanan ini.

" Sesungguhnya Kami menciptakan kalian daripada lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kalian berbangsa² dan bersuku² supaya kalian bertaarufan. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kalian disisi Allah taala ialah yang paling bertaqwa " - AlHujurat : 13 -



081015 | 0301 PM
Surau Kg Sungai Rual
Kelantan Darul Naim