Thursday 8 October 2015

Kembara Jeli 1.0

Bismillah. Langkah kembara dimula dengan nama Allah yang Maha Penyayang.


Kali ini hamba berkesempatan bersama-sama ahli Kelab Perkim Unisza untuk bertandang ke bumi Kelantan. Bumi yang dijolok sebagai Serambi Mekah ini amat damai dengan suasananya yang tersendiri. Entah mengapa, setiap kali aku menapak ke Kelantan, ada satu perasaan aneh yang sukar dimertikan hadir dalam Qalb ini.


Kelantan, sebuah bumi yang subur dengan hasil tani. Bumi yang hampir setahun yang lalu dilanda dengan Bah Kuning sehingga mengakibatkan bencana yang besar.


Kelantan, bumi yang padanya termaqam jasad seorang Murabbi Ummah.


Masih basah diingatanku pada malam kembalinya sosok ulama itu menemui Illahi.

Usai menunaikan solat maghrib, aku membuka akaun whatsapp ku untuk mengetahui perkembangan semasa sementelahan lagi pada malam itu aku perlu menghadiri suatu mesyuarat. Tiba-tiba mataku dikejutkan dengan berita kesihatan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang merudum. Lantas sedikit doa dan AlFatihah aku hadiahkan baginya, moga-moga terbias secebis pahala bagi mengurangkan derita kesakitan beliau. Sesudah itu aku bersiap dan menunggang terus kuda biruku menuju ke tempat mesyuarat. Tempat mesyuarat yang masih gelap gelita memberi isyarat bahawa akulah yang pertama sampai di situ. Sambil menunggu sahabat-sahabat yang lain sampai, aku manfaatkan masa untuk membuka satu persatu mesej whatsapp ku yang menimbun itu.

Tiba-tiba..

Mataku terpaku pada berita kematian TGNA. Adrenalin mengalir laju dalam jasadku membuatkan nafasku sedikit termengah. Sayu, namun kantung mata masih mampu bertahan. Daripada berdiri, aku duduk sebentar di anak tangga. Skrin smartphone ku telah aku scroll berkali-kali, berita yang sama ku baca berulang kali. 
Alfatihah. Alfatihah. Alfatihah. 
Lantas, mutiara yang aku tahan itu mengalir jua. Turun membawa duka-duka dalam jiwa. Mengalirlah duhai air mata, saksikanlah, roh ulama itu sudah kembali menemui Tuhannya..

" Wahai jiwa yang tenang, Pulanglah ke pangkuan Rabmu dengan kegembiraan..."

Kembalinya beliau ke Rahmatullah ditangisi oleh alam. Berkerumun manusia dari pelusuk negara datang sebagai penghormatan terakhir kepada beliau. Beliaulah sosok yang disegani teman dan digeruni lawan. Beliau kembali dengan jiwa yang tenang. 

Berehatlah duhai Murabbi Ummah, sesungguhnya kami menjadi saksi perjuanganmu selama ini.

---
Perjalanan ke Jeli masih berbaki 55 Km lagi. Perasaanku melonjak mahu bertemu dengan kumpulan Orang Asli di Pos Sungai Rual, Jeli. InsyaAllah, dalam hayat yang berbaki ini akan aku infak seluruhnya fi sabilillah. Mengambil semangat bumi Kelantan yang barakah dengan kepimpinan ulama. Kuatlah hati kerana di hadapan ini masih ramai yang perlu kepadamu. Teruskan perjuangan !


Istiqamah Hingga Kemenangan.

081015 | 12:17 PM
Dalam Bas Unisza,
Petronas Kemahang 1, Kelantan.

ps : Alhamdulillah internet sedang berbaik dengan saya.