Bismillah.
Sesiapa yang tidak mempelajari sejarah akan mengulanginya..
Turki Uthmaniyah ( 1924 )
Alam menjadi saksi bisu...
Terengganu ( 2016 )
Usai
berwuduk aku menuju ke rak buku di dalam bilikku, mengambil sebuah buku yang
belum kubaca. Sejujurnya mindaku sudah menyeru aku untuk berehat tetapi mataku
masih berdegil meminta untuk dibuka. Lantas sebuah buku sejarah aku ambil. Nah,
rasakan lagi, kalau masih tidak mengantuk juga mungkin ada sesuatu yang tidak
kena dengan mataku ini, monologku sendiri. Buku
kerdipan bintang melayu di langit Turki itu aku usap perlahan. Memori di
Karangkraf Selangor tempoh hari tergambar di kotak fikiran..
Ketika
pertama kali aku terpandang buku ini, terus aku jatuh cinta padanya. Wah,
seakan cinta pandang pertama kata anak muda. Tapi sayang, saat itu dompetku
tidak memberi banyak peluang untuk aku berbelanja. Almaklumlah teman, hidup
sebagai pelajar yang tanpa bantuan, namun aku gagahi juga demi sebuah cinta.
Ehh, kenapa cinta ? Kerana bagiku memiliki buku itu adalah hobi yang sangat aku
cintai, umpama menyimpan gudang khazanah ilmu yang sangat berharga. Hahaha.
Maafkan aku atas kesasterawaan yang maha dahsyat ini. Jadi secara ringkasnya ia
selamat menjadi hak milikku dan selamat aku bawa pulang ke kampung halaman.
Cuti semester yang panjang ini bakal kuhabiskan bersamamu wahai buku. Hehehe.
Panjang
pula celotehnya ya. Turki. Aku usap perlahan tulisan itu di kulit buku. Segayut
rasa sayu bertamu di hati. Aku sangat menginginkan untuk menjejakkan kaki ke
bumi Anbiya’ itu. Sejak aku mempelajari sejarah sewaktu di sekolah menengah, sejarah
Turki Uthmaniyah adalah yang paling menarik minatku. Ya, siapakah yang tidak
tahu berkenaan kerajaan khalifah Islam yang terakhir itu ? Apakah yang
sebenarnya terjadi sehingga sistem khalifah itu terhapus di sana ? Tambahan
lagi, guruku terhormat, ayahanda Ustaz Sulaiman sering mendengarkan kisah Turki
pada kami. Hagia Sofeanya, Masjid Birunya.. Sehingga aku terbayang-bayang Turki
dalam mimpiku walau kaki tidak pernah menjejak ke sana! Aduh, betapa tulus hati
anak muda ketika itu. Masih di bangku sekolah dan menerima bulat-bulat apa yang
diajarkan oleh guruku.
InsyaAllah
aku bakal memulai kembara ke Turki walau tanpa kaki menjejak ke sana lagi.
Impianku, moga Allah izinkan aku untuk bernafas di sana, mengimbau sirah dan
hikmah yang ada. Membaca karya 99 Cahaya di langit Eropah membuatkan aku
terusik untuk menerokai sisi Eropah yang disembunyikan Barat. Sisi Islam yang
berbekas di bumi Eropah. Syiar yang pernah wujud dan menanti untuk kembali
dinyalakan oleh generasi jundulullah yang baharu.
Turki, negara yang menjadi saksi
kejatuhan khalifah Islam suatu ketika dahulu. Namun sebelumnya ia juga menjadi
saksi kemenangan tentera yang hebat pimpinan Sultan Muhammad Al-fateh. Jika
kita menganggap masih ada generasi Mustafa Kamal Antartuk di Turki, jangan dilupa
darah Al-fateh dan Badiuzzaman Said Nursi juga turut wujud di sana. Tangisan
Faqeeh memecah keheningan malam yang kelam ini. Masa sangat mencemburuiku kini.
Insyaallah akan ku sambung coretan ini setelah aku menghabiskan bacaanku
berkenaan Turki. Selamat bertemu wahai Turki. Ketahuilah ada seorang insan
sedang merinduimu di bumi Malaysia ini. Mengambil roh kekuatan Al-fateh dan
Said Nursi. Generasi Al-fateh dan Said Nursi bakal kembali. Allah, izinkan aku
ke sana suatu hari nanti.
Pen off.
12.31 am
2Jun2016