Mereka bertanya tentang cinta. Aku khabarkan bahawa cinta
itu rela memberi apa sahaja, merasai segenap kehidupan orang yang kita cinta,
walau sejauh mana jarak yang ada. Cinta adalah nadi kehidupan. Dari cinta
sepasang manusia, lahir generasi yang berkekalan lamanya. Dari sebenih cinta
ibu, tumbuh anak-anak yang perkasa jiwa dan cekal hatinya. Kekuatan cinta mampu
menandingi segenap rasa di dunia. Dan kerana cinta, insan yang telah dijanjikan
syurga masih sujud hingga bengkak kakinya di pertiga hening malam. Begitu kuat
rasa cinta. Begitu aneh namanya cinta.
Bercakap mengenai kehidupan pula, pandanglah ke pelusuk
dunia, kau kan temui beribu jawapan kehidupan. Lihatlah si miskin untuk kau
kenal rasa kaya, pandanglah yang terbelenggu di penjara untuk kau hidu
nyamannya angin kebebasan yang kau ada. Memandang segenap dunia, beribu tona
manusia, padanya ada jutaan cerita kehidupan. Yang menariknya, semua cerita itu
pusatnya pada satu pencipta. Ehwal hidupnya dalam pengetahuan pencipta yang
Maha Esa itu. Bahkan sedetik masanya manusia itu jua tidak kan pernah terlepas
dari ilmu-Nya.
Meramu cinta dalam kehidupan bukan semudah menguli tepung
dalam masakan. Padanya perlu ada kesedaran yang maha dalam, perlu pada petunjuk
yang membawakan. Kerana aroma cinta dalam kehidupan begitu manis untuk disiakan
begitu sahaja tanpa cakna dan usaha. Begitu kata Jalaluddin ar-Rumi mengenai
percintaan,
“Hati yang tak mencinta akan gagal dalam perhitunganNya.”
Demikian tanpa cinta yang kita pasak pada hari ini, kelak
segalanya akan berantakan. Rumah yang tidak dipandu dengan cinta, akan hancur
dimakan masa. Hati yang tidak dipagut dengan cinta, lama kelamaan kebosanan
melanda. Jemu untuk bertemu, malas untuk bersua. Akhirnya lembaran cinta terlerai
tanpa kata. Bagaimana untuk mengecap bahagia sebenarnya tanpa isi cinta?
Begitulah untuk bertemu Tuhan, perlu ada rasa cinta. Cukup
dengan cinta, alam kan terasa lapang bagi kita. Dunia kan dilihat biasa sebagai
tempat persinggahan sementara, bukan lagi tujuan utama. Hati meronta untuk
mempercepat perjalanan menuju cinta. Dunia diambil secukup rasa sebagai
perhentian menuju Dia. Namun dalam asyik bercinta dan mengenali-Nya, perlulah
ada pengetahuan dan bimbingan. Agar cinta terarah pada yang selayaknya, bukan
mensyirikkan Dia. Pusat seluruh kecintaan adalah Allah azza wa jalla, pemilik
alam semesta. Maka cukup dengan mencintai-Nya, seluruh anggota alam kan turut
mencintaimu, kerana cinta itu adalah kehidupan.
Tinta Istisyhad,
07102018